Sunday, 22 September 2013

Berang kereta kemalangan, wanita maki-hamun orang ramai yang cuba membantu

PERONDA melihat kereta mangsa yang remuk.

Jasin: Berang kereta dibeli tidak sampai dua bulan remuk selepas terbabit kemalangan, seorang wanita bertindak memaki-hamun orang ramai yang cuba membantunya dalam kejadian di Kilometer 190, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di sini, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, pemandu kereta berusia 30-an yang datang dari arah Jasin ke Ayer Keroh itu hilang kawalan dan melanggar belakang sebuah treler.


Sumber berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu bersendirian dipercayai cuba mengelak ke lorong sebelah kiri selepas melihat sebuah kereta dipandu laju dari arah belakang cuba memintas keretanya.

“Mangsa yang terkejut melihat kehadiran kereta itu mengambil keputusan menukar laluan secara mengejut dari lorong kanan ke lorong kiri.


“Pada waktu itu, mangsa tidak menyedari sebuah treler dipandu perlahan berada di depannya lalu hilang kawalan dan merempuh belakang treler berkenaan hingga terperosok di bahagian bawah tanpa disedari pemandunya yang meneruskan perjalanan.


“Mangsa bagaimanapun bernasib baik kerana kereta dipandu perlahan walaupun bahagian depan remuk teruk dan terhenti di lorong kiri lebuh raya itu,” katanya kepada Harian Metro, kelmarin.

 Menurutnya, mangsa yang tidak mengalami kecederaan dibantu pengguna lebuh raya lain yang kebetulan melalui tempat kejadian sebelum dibantu peronda lebuhraya.


“Namun, berlaku salah faham di tempat kejadian apabila mangsa yang baru membeli kereta kurang dua bulan enggan memberi kerjasama kepada orang ramai yang cuba mententeramkan keadaannya.

“Mangsa gagal mengawal emosinya dan bertindak memarahi pengguna yang cuba mengeluarkannya dari kereta itu namun kejadian berjaya dikawal.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Mohd Nur Hishamuddin Hasim mengesahkan laporan kemalangan berkenaan.

MyMetro

No comments :

Post a Comment