Tuesday, 10 September 2013

Ustazah, 3 anak maut nahas



Foto
Kajang: “Sebaik tiba di lokasi kejadian sebak hati saya melihat Rohaya tersepit kerana kepala lori itu menghempap kereta dipandunya manakala mayat tiga anaknya sudah dikeluarkan dan terbaring di atas jalan raya.”
Demikian kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Rohana Hussin, 59, yang juga majikan kepada Rohaya Md Rabi, 35, yang terbunuh bersama tiga anaknya dalam kemalangan ngeri, di sini, semalam. 
HULU LANGAT 9 Sept. - Rutin harian seorang guru agama Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi untuk mengajar sesi petang berakhir dengan tragedi selepas dia bersama tiga anaknya maut dalam kemalangan di Kilometer 8, Jalan Kajang-Banting, Bangi Lama di sini hari ini.
Kejadian berlaku semasa mangsa, Rohaya Md. Rabi, 35, yang memandu kereta Perodua Kancil dan tiga anaknya dalam perjalanan ke sekolah itu pukul 12.10 tengah hari sebelum kenderaan tersebut bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.
Ketiga-tiga anaknya yang terbunuh ialah Nur Nabila Al Huda Mohd. Tauffid, 9; Nur Nabila Al Hanan, 7, dan Mohd. Nabil Lutfi Al Hadif, 1.
Seorang lagi anak Rohaya yang turut berada di dalam kereta itu, Mohd. Nabil Lutfan Al Husna, 3, terselamat tetapi dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kajang.
Nur Nabila Al Huda, Nur Nabila Al Hanan dan Mohd. Nabil Lutfan Al Husna turut belajar di sekolah tersebut manakala Mohd. Nabil Al Hadif dibawa ibu mereka semasa mengajar kerana masih kecil.
Selain empat anaknya itu, Rohaya turut mempunyai tiga lagi anak yang masih bersekolah.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya ketika melalui lokasi terbabit lalu bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.
Difahamkan, jalan lama dilalui mangsa merupakan laluan pintas dan agak berselekoh serta curam.
"Perlanggaran itu mengakibatkan kereta tersebut remuk dengan kesemua mangsa tersepit di dalam kenderaan. Sebuah van yang berada di belakang lori itu juga gagal mengelak lalu melanggar belakangnya.
"Bagaimanapun pemandu lori dan van itu cedera ringan dan dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan. Kesemua mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Difahamkan, jenazah kesemua mangsa dihantar ke kampung halaman mereka di Kuala Nerang, Kedah, malam ini untuk dikebumikan.
Sementara itu, menurut rakan Allahyarham, Norsuriyati Abd. Rahman, arwah seorang guru yang baik dan disayangi murid-murid malah aktif dalam bidang sukan walaupun mengajar subjek Pendidikan Islam.
"Saya mengenali arwah sejak hampir 10 tahun lalu ketika kami mula berkhidmat sebagai guru di sekolah itu. Selepas dipindahkan ke pejabat pendidikan daerah di sini pun kami masih lagi saling berhubung.
"Kali terakhir saya menemui Allahyarham pada Ramadan lalu dan kurang berkesempatan untuk kerap meluangkan masa bersama.
"Pemergiannya betul-betul memeranjatkan saya kerana turut membawa tiga lagi anaknya," katanya sebak ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Serdang di sini hari ini.
Sementara itu, suami Allahyarham, Mohd. Tauffid Kassim gagal ditemui kerana terpaksa menemani Mohd. Nabil Lutfan Al Husna, 3, yang kritikal dan sedang dirawat di Hospital Kajang.


Foto

No comments :

Post a Comment