Tuesday, 17 September 2013

Mengapa Baiki Pusara P Ramlee Dan Saloma Jadi Haram?


Sebelum ini kita pernah didedahkan tentang struktur kubur pusara milik Almarhum P Ramlee dan Almarhumah Saloma yang rosakteruk akibat dihempap pokok. Ekoran daripada kejadian tersebut, dilaporkan pihak FINAS bakal mengeluarkan kos sebanyak RM25 ribu untuk kos baik pulih kubur berkenaan. Bagaimanapun ia Mufti Selangor menegaskan bahawa perkara itu boleh mendatangkan haram kerana ia termasuk dalam pembaziran. Ikuti laporan di bawah ini.
kubur1
PETALING JAYA – Pusara Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan isterinya Puan Seri Salomayang bakal dibaik-pulih dengan kos mencecah RM25,000 adalah haram hukumnya di sisi agama Islam.
Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, Islam mengharamkan sesebuah pusara itu dihias secara berlebih-lebihan apatah lagi pengubahsuaian itu dilakukan di atas sebuah tanah wakaf.
“Kos RM25,000 itu sangat tinggi untuk menghias sesebuah pusara dan saya percaya ia pasti menggunakan batu marmar yang mahal.
“Malah dalam Islam sendiri sudah jelas memberitahu haram jika pusara dihias secara berlebih-lebihan di tanah wakaf melainkan ia adalah tanah persendirian,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Pada 21 Ogos lalu sebuah akhbar melaporkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan melakukan pengubahsuaian terhadap pusara P.Ramlee dan Saloma selepas ia roboh akibat dihempap pokok pada Mac lalu.
Ketua Pengarah agensi itu, Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah dalam laporan berkenaan berkata, kerja-kerja pengubahsuaian tersebut mengambil sedikit masa memandangkan bahan binaan pusara berkenaan diimport dari luar negara yang turut mencecah RM25,000.
Pusara berkenaan terletak di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang dekat sini.
Dalam pada itu Mohd Tamyes berkata, setiap pusara di tanah wakaf hanya boleh dihias tidak melebihi setengah kaki selain dilarang sama sekali membina makam atau bangunan pusara berbentuk kekal kerana ia mungkin akan diguna semula pada masa akan datang jika tanah sudah penuh.
Tambah beliau, walaupun matlamat pihak yang mahu menghias sebuah pusara itu sebagai ingin mencantikkan tempat berkenaan tetapi biarlah hiasan pusara dapat memberi manfaat seperti menanam pokok-pokok renek yang akan mendoakan si mati agar mengurangkan dosa-dosa kecil mereka semasa di dunia.
“Senang cerita, kewajipan manusia pada jenazah hanya empat iaitu memandikan, mengapankan, sembahyangkan dan mengebumikannya. Ini yang wajib dan menghias bukanlah dalam perkara wajib,” tegasnya yang turut menyifatkan kos pembinaan itu adalah satu pembaziran.
Sementara itu, pendakwah dan pembimbing jemaah Haji, Ustaz Mohd Hasnil Abu Bakar pula berkata pihak Finas perlu mendapatkan nasihat dan pandangan daripada pihak berkuasa agama Islam sebelum meneruskan perancangan membaik pulih pusara berkenaan.
“Memanglah P.Ramlee milik masyarakat dan Allahyarham disayangi ramai.
“Tetapi untuk membaik pulih pusara dengan kos seperti itu, lebih baik mereka berbincang dahulu bagi mendapatkan nasihat yang sepatutnya oleh pihak berkuasa Agama Islam ataupun mufti-mufti,” katanya.
Tambah beliau, jika pembinaan pusara itu dibuat secara keterlaluan, ditakuti wujudnya unsur-unsur syirik dengan aktiviti pemujaan untuk generasi akan datang sehingga menjadi tempat penyebaran ajaran sesat.
“Adalah lebih baik wang itu digunakan untuk membuka maahad tahfiz P.Ramlee kerana ia akan mendatangkan lebih manfaat kepada umat Islam dan juga si mati sendiri,” katanya.
Ditanya siapakah yang berdosa jika projek berkenaan diteruskan Mohd Hasnil berkata, pihak yang terlibat membinanya akan menanggung dosa itu dan bukannya si mati.

No comments :

Post a Comment