Monday, 7 October 2013

Suami ‘Serabut Perut’ Isteri Hilang Entah Ke Mana

Masih tiada berita mengenai ibu kepada enam kanak-kanak yang ditinggalkan kelaparan dalam sebuah rumah di Jalan Bukit Panjang, Jeram, di Kuala Selangor, kelmarin.
Penduduk, Daud Jaumar, 41, berkata, sehingga kini masih tiada khabar mengenai wanita itu tetap, bapa mereka sudah pulang sebaik dipujuk penduduk.
“Penduduk pun ambil berat masalah keluarga itu dan sentiasa menjenguk bila ibu bapa mereka asyik hilang. Saya pun sedih bila ada ibu bapa yang sanggup buat seperti itu kepada anak mereka.
“Alhamdulillah, nasib anak-anak itu nampaknya dibela bila ada individu yang sudi untuk menjaga sementara waktu dan ada pihak dari kerajaan negeri yang melihat keadaan rumah itu,” katanya.
Bagi Hasiah Saat, 53, dia sudah menganggap tiga anak malang yang diambil sejak kelmarin itu seperti cucu sendiri dan kasihnya tidak berbelah bagi.
“Alhamdulillah, sepanjang menjaga mereka cukup mudah seolah-olah mereka memahami keadaan yang berlaku. Nak tidur pun senang tidak ada yang merengek tengah malam.
“Saya pun senang melihat mereka terjaga makan minum, pakaian dan keperluan lain berbanding saat mereka ditemui dengan pakaian agak comot.
Wartawan Sinar Harian, Arziana Mohamad Azaman yang melihat sendiri keadaan anak-anak keluarga itu akui sedih dengan penderitaan yang dialami anak bongsu itu.
Lampin pakai buang yang dipakai dalam tempoh lama sudah berbau dan ruam di bahagian kemaluan agak teruk.
“Saya tidak tahu berapa lama lampin yang dipenuhi najis itu dipakai kerana bila saya membukanya, habis ruam teruk dengan lampin agak ‘berat’.
“Bila bagi susu, bayi itu agak ‘pelahap’ sebab terlalu haus dan tidur kekenyangan. Memang mudah menjaganya dan beruntung siapa yang dapat anak seperti itu,” katanya.
Sementara itu, wakil Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Dr Rodziah Ismail, Rozaini Mohd Rosli turut mengunjungi rumah enam beradik itu.
Katanya, Dr Rodziah memaklumkan akan meminta kerjasama semua agensi di bawah kerajaan negeri yang boleh membantu membela nasib enam beradik itu.
“Langkah yang wajar perlu diambil untuk membantu keluarga itu dan turut menghubungi ahli keluarga suami itu untuk membantu.
“Usaha ini sejajar dengan konsep memasyarakatkan kebajikan supaya keluarga ini dapat dibela dengan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO), Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor dan pihak berkenaan,” katanya.
Wartawan Sinar Harian turut menemui bapa enam beradik itu, Mohd Roslan Ismail, 32, ketika kunjungan kali kedua ke rumah itu dan dia mengakui kesilapan.
“Saya berterima kasih kepada semua yang prihatin dan beri makan kepada anak saya. Saya tidak akan lupa jasa mereka.
“Saya juga mengizinkan beberapa individu untuk menjaga anak buat sementara waktu kerana sekarang ini saya serabut dengan masalah keluarga. Isteri entah ke mana dan anak-anak terabai,” katanya.

No comments :

Post a Comment