Selepas bocornya banyak gambar-gambar menarik model terhangat Proton Suprima Skelmarin, hari ini pula merupakan giliran ‘brochure’ serba lengkap yang dimuatnaik ke laman forum Lowyat.net. Melalui salinan brochure tersebut, kita kini sudah mendapat butiran penuh spesifikasi model hatchback terbaharu itu, di samping senarai harga bagi setiap varian menjelang pelancaran rasminya Sabtu ini (17hb. Ogos 2013).
Berdasarkan maklumat dari brochure, nama sebenar model tersebut sememangnya sah sebagai Proton Suprima S, dan ianya hadir dalam dua varian berbeza iaitu Executive dan Premium. Saya tidak pasti sama ada masih terdapat varian lain yang bakal ditawarkan oleh Proton, namun andaian ketika ini hanya dua varian tersebut sahaja yang akan diperkenalkan. Mungkin varian lebih berkuasa atau varian asas (baseline model) bakal diperkenalkan kemudian, berdasarkan permintaan dari pasaran dan juga maklumbalas dari pelanggan.
Kedua-dua varian Suprima S Executive dan Suprima S Premium dilengkapi enjin Campro 1.6 Turbo, yang sebelumnya dikenali sebagai enjin CFE seperti mana didapati pada model Preve Premium. Ada beberapa sebab kenapa Proton membuat keputusan untuk menggunakan perkataan Turbo bagi menggantikan akronim CFE. Antaranya ialah ramai pelanggan, atau lebih tepat lagi ialah rakyat Malaysia, tidak mengetahui bahawa enjin CFE itu sebenarnya adalah enjin turbo. Menggunakan nama enjin Campro 1.6 Turbo secara asasnya lebih berterus-terang dan pastinya rakyat Malaysia merasa lebih teruja dengan enjin jenis induksi pendesak itu.
Menurut maklumat yang tertera di brochure, enjin turbo tersebut menghamburkan kuasa kuda setinggi 140PS@4,000rpm, dengan kuasa tork mencecah 205Nm@2,000-4,000rpm. Mungkin tiada perbezaan kuasa enjin tersebut dengan enjin CFE pada model Preve Premium, (Preve Premium 138hp, bersamaan 140PS, sementara tork adalah sama 205Nm), namun apa yang lebih membuatkan saya tertanya-tanya ialah berat Suprima S (kerb weight) ialah 1,375kg (varian Executive) dan 1,395kg untuk varian Premium, sementara berat Preve Premium pula ialah 1,340kg (kerb weight), lebih rendah sebanyak 35kg dan 55kg berbanding kedua-duanya.
Jadi persoalannya di sini ialah mampukah Suprima S mencapai prestasi enjin dan pemanduan yang lebih baik berbanding Preve Premium dengan berat kering keseluruhan yang semakin bertambah? Melihat kepada pecutan dari 0 ke 100km pula, Suprima S mampu mencatatkan masa pecutan 9.9 saat, sementara Preve Premium 9.6 saat, kurang 0.3 saat berbanding Suprima S. Mungkin untuk lebih kepastian, sesi pandu uji kedua-dua model yang berbeza bakal memberikan jawapan yang lebih tepat dan adil. Seperkara lagi, kedua-dua varian Suprima S tersebut dilengkapi transmisi CVT, bukannya manual seperti yang diharap-harapkan.
Beralih kepada beberapa spesifikasi penting lain, Suprima S Executive dan Premium dilengkapi brek cakera di keempat-empat bahagian tayar, dengan saiz tayar bagi kedua-dua varian adalah berbeza. Suprima S Executive dipasangkan tayar bersaiz 205/55 R16 dengan rim aloi, manakala Suprima S Premium dengan tayar bersaiz 215/45 R17, juga dengan rim aloi yang direka berbentuk sporty dan menyerlah.
Merujuk kepada brochure juga, didapati Proton Suprima S dilengkapi pelbagai ciri-ciri penting untuk tahap keselamatan maksimum, antaranya termasuklah ABS dan EBD, Hill-Hold Assist (Premium sahaja), Brake Assist (BA), Electronic Stability Control (ESC), Traction Control (TC), enam beg udara, serta turut dilengkapi sensor parking depan dan belakang (Executive depan sahaja), kamera undur, lampu utama automatik (Auto headlamp), dan Electronic Gear Shift Lock (Premium sahaja).
Lebih menarik dan memberikan rasa premium terhadap Suprima S ini ialah kehadiran kusyen dengan balutan kulit, termasuk kemasan kulit untuk pintu (door trim) dan roda stereng (varian Premium sahaja). Bagi saya, kusyen dengan balutan kulit sangat penting untuk sesebuah model premium kerana ianya bukan setakat menambahkan keselesaan sewaktu pemanduan menuju ke setiap destinasi, malah ianya lebih mudah dibersihkan berbanding kusyen fabrik, selain tidak dinafikan yang ianya kelihatan lebih bergaya dan sporty.
Proton Suprima S turut dilengkapi skrin LCD bersaiz 7 inci baharu dengan pemain DVD, dengan tambahan ciri-ciri seperti Intergrated DSP, Bluetooth, serta sambungan iPod, USB termasuk adanya sistem navigasi GPS terbina dalam. Varian Premium juga lebih meriah dengan sistem bunyi enam pembesar suara, apabila Proton menambah lagi dua unit tweeter pada tiang A-Pillar Suprima S. Lebih lagi, Suprima S Premium turut dibekalkan lampu DRL sebenar (Daytime Running Light) yang pastinya menambah gayanya ketika berada di atas jalan raya kelak.
Ciri-ciri eksklusif lain yang melengkapi Suprima S Premium ialah penganjak pedal (Paddle Shifter), penyaman udara kawalan auto, butang Push/Start, Auto Cruise dan Auto Wiper (depan sahaja). Lima warna menarik ditawarkan untuk Proton Suprima S baharu, antaranya ialah Atlantic Blue (Biru), Fire Red (Merah), Genetic Silver (Perak), Solid White (Putih) dan Tranquility Black (Hitam).
Akhirnya, kini tiba pula giliran kita semua untuk melihat senarai harga sebenar Proton Suprima S. Perlu diingat bahawa senarai harga ini mungkin boleh berubah sewaktu hari pelancaran nanti, atau mungkin juga akan kekal seperti sedia ada. Harga di atas jalan (OTR) bagi pasaran Semenanjung Malaysia adalah seperti berikut :
- Proton Suprima S Executive (Solid Colour) : RM76,338.00
- Proton Suprima S Executive (Metallic Colour) : RM76,688.00
- Proton Suprima S Premium (Solid Colour) : RM79,638.00
- Proton Suprima S Premium (Metallic Colour) : RM79,988.00
Berikut pula ialah senarai harga Proton Suprima S (harga OTR) bagi pasaran di Sabah dan Sarawak (Malaysia Timur):
- Proton Suprima S Executive (Solid Colour) : RM78,338.00
- Proton Suprima S Executive (Metallic Colour) : RM78,688.00
- Proton Suprima S Premium (Solid Colour) : RM81,638.00
- Proton Suprima S Premium (Metallic Colour) : RM81,988.00
Kesimpulannya, Proton Suprima S boleh dikatakan sebagai buah tangan terbaru dari Proton yang tampil berbeza berbanding model-model lain, malah menepati kehendak pasaran ketika ini yang lebih meminati model-model berbentuk hatchback dan kompak. Namun melihat kepada senarai harga yang ditawarkan, mungkinkah pemilik Proton iaitu DRB-Hicom agak keterlaluan dalam menetapkan jumlahnya?
No comments :
Post a Comment