Tuesday, 13 August 2013

Sejuta penduduk Indonesia pindah selepas Aidilfitri. Kenapa?

JAKARTA: Perpindahan penduduk desa ke bandar-bandar besar di seluruh Indonesia selepas sambutan Aidilfitri tahun ini dijangka membabitkan kira-kira sejuta orang, kata Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Muhaimin Iskandar.
Mereka dijangka menuju bandar besar seperti Jakarta, Bandung, Surabaya, 
Semarang, Medan dan Batam untuk mencari kerja dan perkara itu harus diberi
perhatian agar tidak menimbulkan masalah sosial dan pengangguran yang semakin 
tinggi di kawasan bandar. 
Bagi menghadapi keadaan itu Kerajaan Indonesia menyiapkan beberapa penyelesaian agar arus urbanisasi ke bandar-bandar tidak menimbulkan masalah baru dan menambah beban dalam usaha mengatasi pengangguran dan kemiskinan, kata Muhaimin di sini, pada Isnin. 
"Kita terus mendorong agar autonomi daerah boleh menjadi satu penyelesaian masalah urbanisasi ini.

"Autonomi daerah harus berhasil mengembangkan beberapa pusat pertumbuhan dan meningkatkan pembangunan di desa dan bandar kecil agar penduduk tidak harus pergi ke bandar," katanya. 

Kementerian itu, katanya, bekerjasama dengan kerajaan negeri yang diminta untuk meningkatkan rancangan yang boleh mencipta peluang kerja di wilayah masing-masing melalui pelaburan dan pembangunan infrastruktur sehingga mampu menyerap tenaga kerja. 

Semua kerajaan negeri juga didorong melaksanakan program alternatif seperti keusahawanan dan penerapan teknologi serba guna untuk menyokong pembangunan ekonomi di semua kawasan di Indonesia. - Bernama


No comments :

Post a Comment